Monday 16 April 2012

KEHAMILAN KEMBAR

Kehamilan Kembar 
Sebahagian kecil wanita memang bernasib baik apabila mereka disahkan mengandung, tetapi adalah lebih menggembirakan pasangan apabila kandungan itu kembar pula.

Mengikut kajian, kehamilan kembar berlaku sekali dalam setiap lapan puluh kehamilan. Kejadian ini biasanya berlaku secara spontan dan tidak siapa yang boleh mengawal kejadian ini. Tegasnya seseorang tidak berupaya melakukan apa-apa usaha untuk menjadikan kehamilannya kembar walaupun dia benar-benar menginginkannya. Kelahiran kembar seringkali berlaku berulang kali dalam sesuatu keluarga. Dalam hal-hal lain, ia ada kaitan dengan keturunan bagi menentukan kejadian kehamilan kembar ini.

Selain faktor keturunan, penggunaan ubat penyubur telah menyumbang kepada peningkatan peratus kejadian kehamilan kembar dan berganda (multiple pregnancy). Misalnya, dengan menggunakan ubat penyubur ´clomiphene´ iaitu sejenis pil yang diberi kepada wanita yang kurang subur, kadar kejadian kehamilan kembar di kalangan mereka ialah lebih kurang empat hingga lima peratus. Dengan penggunaan ubat suntikan yang lebih kuat lagi iaitu hormon yang digelar ´gonadotrophin´ kejadian kehamilan kembar meningkat berganda lebih tinggi mungkin dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus. Ubat pil penyubur ´clomiphene´ dan suntikan ´gonadtrophin´ ini kerap digunakan oleh doktor pakar di klinik pakar mandul dan klinik pakar ginaekologi.

Kejadian kehamilan kembar dan berganda bergantung kepada bilangan benih yang dikeluarkan oleh pihak wanita. Pada kebiasaannya seseorang wanita hanya mengeluarkan satu benih sahaja dalam satu pusingan haid. Benih ini dikeluarkan pada pertengahan pusingan haid. 

Setelah persenyawaan berlaku menerusi percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan, embryo akan terbentuk. Jika dua benih perempuan yang dikeluarkan serentak, maka kedua-dua benih perempuan yang disenyawa akan menghasilkan dua embryo yang berlainan.

Pasangan kembar yang dihasilkan daripada satu telur, yang kemudiannya pecah untuk menghasilkan dua jasad akan menjadi pasangan kembar satu uri

Kembar yang dihasilkan begini biasanya mempunyai jantina yang sama, sama ada keduanya lelaki atau perempuan, rupa paras yang sama dan juga sifat dan perwatakan yang hampir-hampir sama. Manakala pasangan kembar yang dihasilkan dari dua telur ataukembar tidak seiras (non-identical twin) biasanya mempunyai jantina yang berbeza iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dan rupa paras, perwatakan dan sifat mereka adalah tidak sama. Dalam kembar yang sama biasanya satu uri sahaja yang dihasilkan dan uri ini digunakan bersama oleh kedua-dua bayi ketika dalam kandungan. Manakala dalam pasangan kembar yang tidak sama uri biasanya ada dua, satu bagi setiap bayi.

Kembar seiras (Identical twin) dari satu embryo kebanyakan menjadi dua insan (lengkap) sama rupa, jantina, dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment