Friday 8 February 2013

Relaktasi


Relaktasi ialah proses menyambung semula penyusuan susu ibu selepas susu berkurangan atau kering berikutan kurangnya atau tiada langsung penyusuan langsung selama beberapa minggu atau bulan.

Sebab sebab ibu mahu memulakan relaktasi antaranya ialah bayinya tidak boleh menerima susu formula (formula intolerance), keadaan kesihatan ibu dan anak, perubahan rumah mahupun tempat kerja dan keinginan untuk menyusukan semula anak selepas bercerai susu(weaning) terlalu awal.
Relaktasi biasanya melibatkan 2 inisiatif:
1. Membawa bayi supaya mahu semula minum daripada payudara ibu.
2. Meningkatkan semula produksi susu ibu supaya ibu berupaya menyusukan anaknya secara eksklusif tanpa suplemen lain (terutamanya susu formula)
Secara keseluruhannya, artikel ini ditulis bagi menjelaskan kedua dua inisiatif di atas.
Kenapa Mahu Relaktasi
Relaktasi tidak mudah.Walaubagaimanapun hampir 75% peratus ibu yang mencuba relaktasi mendapati ianyanya adalah pengalaman yang positif (samada berjaya eksklusif ataupun tidak). Secara keseluruhannya, relaktasi lebih mudah dijayakan sekiranya fokus ibu ialah kepuasan menyusukan anak sendiri dan mengetahui yang anaknya menerima khasiat susu ibu berbanding kemahuan ibu untuk menghasilkan susu yang banyak.
Umur Bayi
Semakin muda bayi itu, semakin mudah proses relaktasi berlaku. Ini adalah kerana bayi perlu menghisap secara terus daripada payudara ibu sebagai syarat utama untuk penghasilan susu.
• Bayi di bawah 3 bulan lebih mudah untuk dipujuk untuk menyambung penyusuan
• Bayi di atas 6 bulan agak sukar untuk dipujuk
• Bayi yang pernah menyusu susu ibu sebelum ini lebih mudah dipujuk berikutan applikasi penyusuan daripada susu ibu dan botol adalah berbeza
Berapa Lama Ianya Akan Berhasil?
Sebaik baiknya luangkan masa 2 minggu bersama bayi sepanjang proses relaktasi.
Sebagai anggaran, jumlah masa yang akan diambil untuk memulakan semula penyusuan secara eksklusif ialah sama dengan masa yang telah diambil semasa penyusuan terhenti.
Ramai daripada ibu yang relaktasi mengambil masa kurang daripada sebulan untuk mengembalikan bekalan susu mereka.
Dalam kes saya, saya mengambil masa 2 minggu untuk memastikan saya menyediakan susu yang cukup untuk bekal bayi selama saya bekerja(18 oz untuk 10 jam) tanpa perlu ‘backup’ dengan susu formula.

Bagaimana Harus Saya Memulakannya?
• Dapatkan panduan daripada Kaunselor Laktasi yang bertauliah untuk sebarang konsultasi samada ibu dan bayi mengalami masalah lain (seperti keliru puting) bagi membantu proses relaktasi yang lancar
• Dapatkan pam elektrik yang berstandard hospital yang membolehkan pengepaman serentak untuk ibu mengepam 8 ke 12 kali sehari. Ianya penting untuk mengelakkan kes seperti puting luka.
• Banyakkan sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi
• Tawarkan (offer) payudara dengan cara menggeselkan puting di pipi bayi selang 2 jam sekali
• Beri bayi menghisap secara terus selama 20 minit atau lebih pada satu payudara
• Tawarkan (offer)payudara sebelah lagi sekiranya bayi masih mahu menyusu
• Pam kedua dua belah payudara selama 20 minit selepas menyusukan bayi
(Nota: Prinsip penyusuan susu ibu ialah susu akan makin bertambah sekiranya payudara dikosongkan dengan berkesan)
• Ibu digalakkan mengepam 20 minit pada waktu malam (12 pagi – 6 pagi) selepas menyusukan bayi dimana produksi susu agak tinggi pada waktu itu
• Sekiranya bayi terlalu marah dengan pengeluaran susu yang lambat, berikannya 1 oz susu formula di dalam cawan kecil (untuk alas perut), dan cuba sambung dengan menawarkan payudara semula.
• Elakkan penggunaan puting palsu(pacifier) mahupun botol. Kerana payudara ibu memerlukan stimulasi yang secukupnya daripada bayi.
• Panduan : Sepanjang 2 minggu bersama bayi, susukannya secara terus di samping mengepam dimana susu yang dipam akan dibekukan sebagai stok semasa ibu memulakan bekerja nanti.
• Anggaran susu perahan yang perlu ditinggalkan : 10 jam = 12 oz – 18 oz (kuantiti mungkin berubah mengikut usia bayi dan masa meninggalkan bayi)

No comments:

Post a Comment