Friday, 21 June 2013

1001 KELEBIHAN DI BULAN RAMADHAN




Bulan Ramadhan Al-Mubarak akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Tentu anda semua tidak sabar menantikan kedatangan bulan yang paling mulia ini kan? Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan berkat, bulan di mana turununnya Al-Quran. Bulan ini mempunyai 1001 kelebihan dan keistimewaan yang telah diterangkan di dalam hadith dan Al-Quran.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Menurut huraian terbelenggunya syaitan-syaitan di bulan Ramadhan adalah untuk menghormati bulan Ramadhan serta terbukanya pintu-pintu syurga bermaksud sesiapa yang beramal di bulan puasa, dengan melakukan amal kebaikan dan meninggalkan amal keburukan, akan dimasukkan ke dalam syurga di akhirat kelak dan bebas daripada hasutan syaitan di bulan Ramadhan.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan, menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." (Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)

Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya. Jadi, marilah kita memperbanyakkan amalan kita terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. InsyaAllah, kita akan dijanjikan syurga oleh Allah.

Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya: "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar). Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".

"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".

"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa." 

Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. "Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".

"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".

Jadi, kita digalakkan untuk memberi makanan dan minuman kepada orang yang berpuasa untuk meringankan beban mereka dan bersabarlah sepanjang kamu berpuasa kerana sabar itu, syurga janjinya. Sekali amal kebaikan yang kita lakukan, maka amal itu akan mendapat tujuh kali ganda kebaikan berbanding bulan yang lain. 

Marilah kita sama-sama memuliakan bulan Ramadhan dengan melakukan amal kebaikan dan bersabarlah sepanjang kita berpuasa kerana kebaikannya adalah berkali ganda berbanding bulan biasa. Selamat menyambut bulan Ramadhan!

No comments:

Post a Comment