Thursday, 27 December 2012

Hubungan Emosi - Penyusuan Susu Ibu

Apa itu penyusuan Ekslusif Susu ibu?
Ia Bermaksud Bayi hanya diberi susu ibu sahaja tanpa makan dan minum lain selama 6 bulan pertama.
Pemberian susu ibu adalah aktiviti fisiologi normal yang memberi banyak kebaikan kepada ibu, anak, keluarga, masyarakat dan juga alam sekitar, lebih-lebih lagi kepada kesihatan ibu dan anak. Adakah anda sedar bahawa penyusuan ibu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi anda? Susu ibu bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran fizikal si manja, tetapi juga membantu memupuk ikatan kasih sayang antara ibu dan anak, dan mengeratkan hubungan antara mereka.


Penyusuan ibu mengeratkan jalinan hubungan emosi dan psikologi antara ibu dan anak. Penghisapan puting payu dara memberi kesan kepada ibu dan anak. Perbuatan menyusu itu menenangkan bayi, seperti yang terbukti daripada keberkesanannya mengurangkan kadar denyutan jantung, metabolisme dan kesakitan ketika menyusu.

Kesan Ketenangan
Terdapat beberapa faktor yang memberi kesan ketenangan dan analgesik.
  • Menghisap puting ibu merangsang sentuhan orofarinks dan mekanoreseptor bayi dan menumpukan perhatian pada mulut, dengan demikian mengurangkan pengaruh luar.
  • Penghisapan dan penyerapan lemak daripada susu dalam usus merangsang pengeluaran hormon kolesistokinin yang mengaktifkan saraf yang mencetuskan rasa relaks dan melegakan kesakitan.
  • Kemanisan rasa susu merangsang pengeluaran opioid dalam bahagian tengah otak bayi, yang bertindak ke atas saraf penerima yang mengurangkan persepsi kesakitan.
  • Penyusuan ibu membabitkan sentuhan keibuan kulit-ke-kulit yang menstabilkan tahap glukosa darah, suhu badan dan kadar pernafasan, dan juga mengurangkan pengeluaran hormon tekanan dan menurunkan tekanan darah.
  • Akhir sekali, penyusuan ibu membabitkan interaksi sosial yang intim antara ibu dan anak (jalinan hubungan), yang mungkin menambah pengeluaran hormon anti tekanan oksitosin.
Perasaan santai dan tenang memberi kesan secara sinergi dan walaupun kajian selama ini tertumpu kepada bayi yang baru lahir, pengalaman ibu menunjukkan bahawa mereka terus merasai ketenangan dan kesantaian selama mereka menyusukan bayi masing-masing.
Hubungan Emosi
Hubungan intim antara ibu dan anak merujuk kepada hubungan emosional yang kuat antara seorang ibu dan anaknya. Penyusuan ibu mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak disebabkan sentuhan kulit ke kulit yang berlaku apabila ibu memegang erat dan merenung anaknya semasa menyusu. Ibu yang menyusukan bayinya menjadi lebih sensitif kepada keperluan anaknya dan belajar untuk menjadi lebih responsif.
Oksitosin dalam darah didapati meningkat apabila seorang wanita yang baru bersalin bersentuhan kulit ketika memegang bayinya; oksitosin meningkat dengan ketara selepas uri dikeluarkan. Selepas satu atau dua tempoh menyusu, oksitosin dalam darah meningkat dengan setiap penyusuan ibu. Tahap peningkatan ini mungkin dapat mengeratkan hubungan intim seorang ibu dengan anaknya selain membantu mengecutkan otot uterus bagi mengelakkan pendarahan. Penemuan ini membantu menjelaskan pengamatan yang dibuat oleh jururawat di Perancis pada abad ke-19, apabila mereka mendapati ibu yang menyusukan bayi mereka sekurangkurangnya 8 hari jarang memberikan anak mereka kepada orang lain.
Apabila seorang ibu menyusukan anaknya, sentuhan bibir bayi merangsang saraf deria dalam puting payu daranya, menyebabkan pengeluaran dua hormon penting dalam otak ibu, yang terbabit dalam penyusuan ibu, prolaktin dan oksitosin. Selain membantu dalam pengeluaran susu ibu, prolaktin (hormon keibuan) membantu ibu untuk merasa santai dan lebih menyayangi bayinyaOksitosin (hormon kasih sayang) bertanggungjawab mengeluarkan susu dan juga mencetuskan perasaan gembira dalam diri ibu dan menceriakan moodnya.
Ibu perlu diberi galakan dan sokongan menerusi sentuhan awal kulit-ke-kulit dan penyusuan ibu sebaik sahaja melahirkan bayi. Ini penting bukan sahaja untuk kebaikan fizikal ibu dan anak, tetapi juga untuk mengukuhkan ikatan emosional yang terjalin daripada hubungan ini.

No comments:

Post a Comment